KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Program Pembangunan Francais Mikro Dan Mampu Milik (F3M) yang dilaksanakan menerusi siri program Jelajah Francais dan Program Latihan di seluruh negara telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat terutamanya di kalangan B40 dan M40.
Program ini dapat membantu usaha Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menarik penglibatan lebih ramai golongan B40 dan M40 serta PKS untuk menceburi bidang perniagaan francais.
Menurut Ketua Eksekutif MFA, Ahmad Faizal Mohamed Noor, siri jelajah dan program Latihan F3M di seluruh negara itu mensasarkan lebih 1,000 penyertaan daripada kalangan B40 dan M40 yang berminat untuk menceburi francais pada tahun ini. Dijangkakan sekurang-kurangnya sepuluh peratus daripada jumlah penyertaan tersebut akan menceburi perniagaan francais mikro dan mampu milik sekiranya lebih banyak dana dapat diperuntukkan oleh kerajaan.
“MFA optimis bahawa program ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan francais seperti yang disasarkan selain membantu golongan B40 dan M40 meningkatkan taraf hidup mereka. Kita berharap agar pihak kerajaan dapat mempertimbangkan penambahan dana bagi program ini pada tahun 2022 memandangkan ianya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat sejak ia diperkenalkan pada tahun 2021” katanya.
Sebanyak 11 siri program jelajah francais diseluruh negara telah dirangka dengan dimulai pada 8 dan 9 Januari di Perlis dan Pulau Pinang, dan destinasi terakhir akan diadakan di Sabah pada 25 Jun.
Beliau berkata, program jelajah ini bertujuan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat setempat mengenai peluang perniagaan francais yang boleh diterokai dan inisiatif kerajaan dalam membantu mereka untuk menceburi perniagaan francais.
Selain itu, Program Latihan - Kursus Asas Perniagaan Francais dibawah inisiatif Program F3M yang dilaksanakan juga merupakan persediaan kepada bakal usahawan francais untuk memahami dengan lebih jelas mengenai sistem perniagaan francais. Sehingga kini, MFA telah melaksanakan di 8 negeri bagi program Latihan F3M tersebut.
Orang ramai yang berminat untuk sertai Program Jelajah Francais Mikro Dan Mampu Milik bolehlah emel kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. atau emel kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. untuk program latihan. Selain itu, maklumat ini juga boleh didapati di www.mfa.org.my.