KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat), hari ini mengumumkan kempen Pajak Gadai-i yang dianjurkannya, iaitu Kempen “Gadai Emas Menang Emas” (GEME), telah berjaya merekodkan peningkatan pertumbuhan keuntungan sebanyak 18.28% pada tahun berakhir 2021 berbanding tahun sebelumnya.
Kempen yang telah berlangsung selama 10 bulan, dari 1 Mac 2021 hingga 31 Disember 2021 ini telah mendapat sambutan baik, di mana seramai 9,432 pelanggan melibatkan 15,011 akaun dan RM122.57 juta nilai pembiayaan baharu telah berjaya dikekalkan sepanjang tempoh kempen tersebut.
Menerusi Perkhidmatan Pajak Gadai-i Bank Muamalat, pelanggan bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tunai segera, mereka juga boleh menggunakan perkhidmatan ini bagi tujuan penyimpanan emas, dan sekaligus layak secara automatik menyertai kempen GEME, yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM500,000.00.
Tiga pelanggan bertuah telah terpilih sebagai pemenang hadiah utama dalam cabutan yang diadakan baru-baru ini. Rogayah Harun dari Telok Panglima Garang, Selangor berjaya memenangi hadiah utama berupa barangan kemas emas pelbagai jenis bernilai RM100,000.00. Tempat kedua pula dimenangi oleh Mohd Jaffar Julaihi dari Kuching, Sarawak yang menerima barangan kemas emas pelbagai jenis bernilai RM75,000, dan hadiah ketiga berupa barangan kemas emas pelbagai jenis bernilai RM25,000 dimenangi oleh Idayu Artikah Taib dari Ampang, Selangor.
Sementara itu, 100 pemenang bulanan telah menerima hadiah berupa 1-gram kepingan emas 999 (24k) eksklusif dengan logo Bank Muamalat, setiap seorang melalui cabutan bulanan yang dibuat sepanjang tempoh kempen berlangsung.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata Bank Muamalat menawarkan margin pembiayaan sehingga 80% kepada semua pelanggan dan had pembiayaan sehingga RM1,000,000 untuk pelanggan pajak gadai Islam.
“Kadar keuntungan yang dikenakan adalah di atas nilai pembiayaan dan bukan lagi di atas nilai emas yang dicagarkan oleh pelanggan. Oleh itu, pelanggan pajak gadai Islam Bank Muamalat akan menikmati kadar keuntungan yang lebih rendah,“ kata Khairul.
Selain itu, susulan pandemik COVID-19 yang melanda, Bank Muamalat juga telah memperkenalkan perkhidmatan gadaian semula Ar-Rahnu secara dalam talian yang pertama di Malaysia bagi memenuhi keperluan tunai segera.
“Dengan inisiatif ini, pelanggan tidak perlu hadir ke cawangan Bank Muamalat untuk membuat gadaian semula. Pelanggan hanya perlu menghubungi pihak bank untuk membuat transaksi gadaian semula. Dengan cara ini, semua pihak dapat mengurangkan risiko pendedahan kepada wabak COVID-19,” tambah Khairul.
Bank Muamalat juga telah memperkenalkan aplikasi mudah alih (mobile app) “Pajak Gadai-i” yang memaparkan maklumat perkhidmatan Ar-Rahnu seperti ciri-ciri produk, harga gadaian semasa (real time), simulasi pengiraan pembiayaan dan kadar bayaran (real time), sistem e-Lelong, temujanji dalam talian (i-meet), kempen dan promosi terkini, serta pengumuman pemenang kempen Ar-Rahnu. Sejak dilancarkan pada Disember 2021, seramai 6,497 pelanggan telah memuat turun aplikasi berkenaan.
Bank Muamalat menawarkan perkhidmatan Pajak Gadai-i, Muamalat Ar-Rahnu di kesemua 67 cawangan di seluruh Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Bank Muamalat atau kunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat. Pelanggan juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat di 03-2600 5500 untuk maklumat lanjut.