PUTRAJAYA, 11 Mei (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia telah meluluskan sebanyak 34 syarikat bagi permohonan kuota Tarif Galakan (Feed-in Tariff, FiT) secara e-bidding untuk sumber biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil bagi tahun 2021 dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 174.672MW.
Permohonan kuota FiT bagi tahun 2021 ini telah dibuka pada bulan Jun 2021 dengan tawaran kuota sebanyak 187.805MW. SEDA Malaysia telah menerima penyertaan yang menggalakkan daripada 66 syarikat dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 452.842MW atau 57% peningkatan berbanding penyertaan pada tahun 2020 daripada 42 syarikat dengan kapasiti sejumlah 365.552MW. Peningkatan ini merupakan satu kemajuan dalam industri tenaga boleh baharu (TBB) di Malaysia.
Mekanisme FiT telah diperkenalkan pada tahun 2011 bagi menggalakkan penjanaan tenaga melalui sumber boleh baharu. Penawaran kuota FiT ini dijangka berupaya menjana pelaburan sebanyak RM1.56 billion dan mewujudkan sebanyak 526 peluang pekerjaan dalam industri TBB.
Bagi meneruskan kesinambungan projek-projek baharu di bawah mekanisme FiT dalam mencapai sasaran 31% campuran kapasiti TBB menjelang tahun 2025 dan 40% pada tahun 2035, Yang Berhormat Menteri Tenaga dan Sumber Asli bakal mengumumkan permohonan kuota FiT tahun 2022 dalam masa terdekat. SEDA Malaysia berharap agar lebih ramai pemaju turut serta dalam permohonan kuota FiT bagi tahun 2022, sekaligus mengembangkan industri TBB negara.
Maklumat lanjut mengenai keputusan permohonan kuota FiT tahun 2021, boleh dilayari menerusi portal SEDA Malaysia di www.seda.gov.my.