KUALA LUMPUR, 26 JULAI 2022 – Melalui kajian dan usahasama antara Meditech Gloves Sdn. Bhd. dengan universiti penyelidikan terkemuka dunia, Universiti Cranfield sejenis komposit getah generasi baharu daripada kombinasi ekstrak graphene dan getah asli berjaya dihasilkan.
Daripada getah asli yang ditoreh dari ladang, bahan ini akan diaplikasikan dalam pembuatan belon aeroangkasa dan akan menjadi yang pertama seumpamanya di dunia untuk dilepaskan ke angkasa. Kombinasi graphene dan getah asli ini mampu meningkatkan daya tahan serta keanjalan komponen getah bagi menghadapi tekanan ruang udara yang tinggi di angkasalepas.
Graphene sebagai salah satu komponen utama dalam penghasilan teknologi ini telah dibekalkan oleh Levidian, pengusaha pertama yang telah berjaya menghasilkan graphene mesra alam daripada gas metana dan penghasilan ini telah dipatenkan oleh syarikat ini.
Kajian terhadap teknologi ini juga mendapat sokongan penuh daripada Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC), pusat penyelidikan di bawah Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang terletak di UK dan mereka telah membantu dari segi pengendalian ujian, panduan serta perkongsian maklumat berkenaan getah asli.
Sejajar dengan evolusi yang berlaku dalam rantaian penghasilan produk getah masa kini, Malaysia perlu mempelbagaikan produk berasaskan getah terutama sekali yang bernilai tinggi dan ini merupakan satu pencapaian yang harus dibanggakan selain daripada kedudukan Malaysia sebagai pengeluar sarung tangan getah nombor satu dunia seperti yang semua sedia maklum.
“Pada hari ini elemen getah dapat ditemui dalam pelbagai jenis produk, dari kegunaan harian sehinggalah untuk industri pembuatan, kesihatan dan kejuruteraan. Saya percaya penemuan baru ini akan membuka peluang untuk Malaysia menceburi industri bernilai tinggi dan meneroka pasaran baru yang melibatkan aplikasi satelit dan aeroangkasa seterusnya membantu meningkatkan nilai eksport produk getah negara.” kata Perdana Menteri YAB Datuk Ismail Sabri di pelancaran Malaysia International Agricommodity Expo & Summit (MIACES) 2022 anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) di MITEC, hari ini.
Menteri KPPK, YB Datuk Hajah Zuraida pula berkata, “Malaysia sudah memang dikenali sebagai pengeksport getah asli dan pengeluar barangan getah yang berkualiti tinggi. Justeru, kepakaran serta pengalaman Malaysia dalam bidang penyelidikan ini sememangnya telah berakar umbi dan sehingga kini menjadi sumber rujukan utama industri berasaskan getah dari seluruh dunia.”
“Kejayaan teknologi ini akan meletakkan Malaysia sebagai negara yang relevan sebagai peneraju teknologi getah dunia. Majlis Getah Malaysia (MRC) berperanan membantu dalam mempromosikan teknologi ini ke pasaran antarabangsa dan meningkatkan kadar pelaburan seterusnya melonjakkan nilai rantaian industri getah negara.” kata Nor Hizwan Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif MRC.