Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin sekalian,
1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya rafakkan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta`ala, kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dipertemukan dalam Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam KLIFF Kali Ke-14 ini. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pengajur utama Centre for Research and Training (CERT) dan rakan-rakan penganjur bersama Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Amanie Advisors, Persatuan Penasihat Syariah Bagi Kewangan Islam Malaysia (ASAS) dan Tetuan Hisham, Sobri and Kadir atas jemputan pada hari ini.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin sekalian,
WABAK COVID-19 DAN SUMBANGAN KEWANGAN ISLAM
2. Penularan wabak COVID-19 sehingga kini telah menjangkiti lebih dari 270,000 orang di Malaysia dan lebih 100 juta manusia di dunia. Ianya juga mengakibatkan kehilangan nyawa lebih 1,000 ribu di Malaysia dan lebih 2 juta nyawa di seluruh dunia. Malah wabak ini turut merencatkan perdagangan merentas sempadan dan aktiviti ekonomi dan perniagaan, serta menjejaskan punca pendapatan pelbagai pihak dan industri dalam dan luar negara. Sudah tentu terkait secara langsung dengan ekonomi dan kewangan semasa negara. Untuk tahun 2021 ini Kementerian Kewangan Malaysia telah mensasarkan
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia di antara 6.5% dan 7.5% yang dibantu oleh peningkatan dalam pembangunan global dan pasaran antarabangsa. Kita berdoa kepada Allah dan berharap agar penularan wabak Covid-19 ini berjaya ditangani oleh kita semua khasnya pihak kerajaan dan rakyat bersama. Moga Allah membantu supaya kesukaran yang dihadapi dari sudut ekonomi yang menggusarkan semua ini dan berlarutan sejak awal 2020 dapat ditangani.
3. Saya penuh yakin bahawa institusi kewangan Islam bersama dengan cendekiawan Syariah turut mempunyai peranan utama dalam menyumbang pelbagai agenda dan kaedah dengan penuh bermakna bagi menjayakan proses pemulihan wabak ini. Kewangan Islam perlu memastikan perkhidmatan kewangan menambah nilai dan menghasilkan impak positif kepada ekonomi dan kemaslahatan masyarakat secara amnya dalam memenuhi tuntutan Islam dan sudah tentu prinsip-prinsip Syariah Islam terpakai utk disuburkan dan dilaksanakan. Selaras dengan tema muzakarah kali ini “Kewangan Islam Ke Arah Penyelesaian Ekonomi Semasa”, saya ingin berkongsi beberapa noktah penting dalam kita berhadapan situasi krisis semasa.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin sekalian,
MAQASID SYARIAH ASAS UTAMA DALAM MENGHADAPI KRISIS
4. Dalam membendung penularan wabak COVID-19, pelbagai langkah radikal telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan bukan hanya di Malaysia malah juga di seluruh dunia. Langkah-langkah membendung penularan wabak ini mempunyai kesan sampingan yang “negative” secara tidak langsung ke atas kedudukan ekonomi dan sosial rakyat dan negara keseluruhannya. Pendapatan perniagaan bagi hampir kesemua lapisan sektor industri ekonomi termasuk bagi perusahaan kecil dan sederhana turut terjejas kesan dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan. PKP atau MCO ini adalah langkah yang popular di seluruh negara bagi membendung penularan wabak ini. Natijahnya, kesejahteraan individu yang bergantung sara hidup kepada sektor-sektor ekonomi telah turut terkesan apabila punca pendapatan
mereka terjejas atau hilang sama sekali. Situasi ini berupaya mengancam kesejahteraan institusi kekeluargaan serta kestabilan sosial. Kadar pengangguran bagi negara ini malah dunia juga dijangka mencatat angka peningkatan. Wabak yang tidak dijangka ini tidak dinafikan akan kesan secara langsungnya.
5. Dalam menangani impak COVID-19, saya penuh yakin bahawa nilai-nilai murni selaras dengan tuntutan Syarak merupakan asas pertimbangan penting bagi kerajaan dan industri kewangan Islam secara bersama untuk mengambil langkah mencapai tuntutan maqasid Syariah yang menekankan kesejahteraan agama, kehidupan, akal, keturunan dan juga harta. Sudah tentu bagi pihak kerajaan pelbagai pakej ransangan ekonomi telah dilaksanakan dan bakal diperkenalkan. Di Malaysia khasnya, tuntutan memenuhi Maqasid Syariah merupakan asas pertimbangan bagi beberapa keputusan Majlis
6. Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia mahupun Suruhanjaya Sekuriti. Misalnya, institusi perbankan Islam tidak dibenarkan mengambil kira keuntungan terakru bagi pembiayaan sedia ada dalam penentuan amaun prinsipal yang baharu bagi pembiayaan yang distruktur atau dijadual semula. Institusi perbankan Islam juga diingatkan supaya bersikap adil dan prihatin dalam berurusan dengan pelanggan dan dalam perihal penentuan kadar keuntungan. Semua ini bertujuan meringankan bebanan yang dihadapi oleh pelanggan dan rakyat yang terkesan berikutan wabak COVID-19.2
7. Usaha menangani penularan wabak COVID-19 sudah tentu melibatkan jumlah dana yang luarbiasa besar yang turut mendatangkan tekanan ke atas kedudukan kewangan kerajaan. Bajet 2021 kerajaan Malaysia adalah juga yang tertinggi dengan harapan dapat memberikan kebaikan dan keselesaan yang terbaik untuk rakyat dan merancakkan pemulihan ekonomi negara. Dalam masa yang sama bagi membolehkan penglibatan ummah dalam membantu pemulihan dan pembangunan semula ekonomi negara, beberapa negara telahpun menerbitkan sukuk impak sosial berasaskan runcit (retail- based social impact sukuk).
Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin sekalian,
INISIATIF-INISIATIF PRODUK MUAMALAT DARI AGENSI-AGENSI AGAMA DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)
8. Agensi-agensi agama di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), turut menekankan peri pentingnya kewangan Islam sebagai nadi pembangunan negara dan ummah. Mutakhir ini kita dapat saksikan beberapa inisiatif penting yang diumumkan oleh pihak kerajaan untuk memperkasakan lagi industri kewangan Islam di Malaysia, sebagai contoh:
Inisiatif Waqaf
9. Di dalam Belanjawan 2021, Kerajaan Malaysia telah menzahirkan komitmen untuk memperkasa pengurusan wakaf melalui kerjasama antara Yayasan Waqaf Malaysia dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC). Pelan Induk Wakaf Nasional akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap dan dapat memaksimumkan mobilisasi aset wakaf masa hadapan. Keunggulan institusi wakaf ini bukan hanya layak dibanggakan di dalam lembaran-lembaran sejarah, sebaliknya mesti diterjemahkan dalam bentuk operasi yang cekap dan mendatangkan pulangan yang bermanfaat kepada masyarakat.
10. Begitu juga Permodalan Nasional Berhad (PNB) pula melalui Amanah Saham Nasional Berhad atau ASNB akan memperkenalkan perkhidmatan wakaf kepada semua pemegang unit amanah ASNB. Di bawah perkhidmatan ini, pemegang unit boleh mewakafkan sebahagian unit mereka ke dalam tabung wakaf ASNB dan mereka layak mendapat potongan cukai pendapatan. Pulangan berterusan dari tabung wakaf tersebut akan disalurkan kepada projek wakaf berkepentingan nasional yang akan dikenal pasti oleh PNB.
11. Untuk merancakkan aktiviti perniagaan di kalangan usahawan Muslim, RM50 juta telah disediakan di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi menyokong aktiviti pembiayaan Islam melalui Ar-
Rahnu BizNita.
12. Inisiatif baharu ini melibatkan kerjasama di antara Yayasan Waqaf Malaysia, Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA) serta para penyumbang. Sehingga 31 Januari 2021 jumlah kutipan wakaf air mencecah sebanyak RM223,461.63. Wakaf Air ini dijangka dapat membantu Negara untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) yang ke -6 iaitu Matlamat Air Bersih dan Sanitasi.
Tabung Musaadah Covid 1.0 dan 2.0
13. Sejumlah RM363.5 juta telah diagihkan setakat November 2020 untuk mereka yang terkesan disebabkan musibah pandemic Covid19. Agihan ini telah dijalankan melalui agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Kesinambungan diteruskan dengan Tabung Musaadah Covid 2.0 ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang diumumkan mulai 12 Januari 2021.
14. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada institusi-insitusi kewangan Islam di kalangan bank-bank Islam dan juga para pengendali Takaful yang telah bersama- sama menyumbang untuk Tabung Musaadah 1.0 dan 2.0. Ini menunjukkan bahawa institusi kewangan Islam tidak hanya mengejar keuntungan semata-mata tetapi menyumbang semula kepada masyarakat melalui pembayaran zakat perniagaan dan program-program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Industri kewangan Islam turut berada di barisan hadapan untuk membantu frontliners dan mereka yang terjejas disebabkan Covid19 yang belum berpenghujung ini.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin sekalian,
HARAPAN DAN KOMITMEN KE HADAPAN
15. Difahamkan Muzakarah ke-14 kali ini juga membincangkan tema dan topik yang segar dan semasa dari pengamal dan cendiakawan Syariah dari dalam dan luar negara. Topik perbincangan seperti Kewangan Sosial Islam, Takaful semasa Covid-19, Fatwa-fatwa semasa kewangan Islam dan Hala Tuju Kewangan Islam amat wajar diperincikan sesuai dengan latar belakang ekonomi dan wabak Covid-19 yang sedang kita hadapi. Kewangan Sosial Islam yang semakin popular dan selari dengan sistem kewangan moden di kebanyakan negara-negara Islam, termasuklah Malaysia wajar dikembangkan seperti perkembangan sistem kewangan Islam dan perbankan Islam. Sudah tentu usaha-usaha bersepadu dari pihak regulasi Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, industri kewangan Islam dan cendikiawan kewangan Islam untuk memperluaskan agenda Kewangan Sosial Islam sekaligus melonjakkan sistem muamalat Islam.
16. Penularan pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini juga telah menyedarkan umat Islam tentang keperluan Takaful dan Retakaful samada berkaitan dengan perlindungan kekeluargaan, perlindungan am dan juga perlindungan komersial. Perkembangan positif industri Takaful di Malaysia harus terus diperkukuhkan dan perluaskan.
17. Pengamalan standard piawaian kewangan dan perakaunan patuh Syariah juga perlu terus diluaskan dan diperkukuhkan dalam industri kewangan dan perbankan Islam. Keyakinan pihak-pihak para pemegang taruh (stakeholders) di dalam industri Kewangan Islam khasnya secara menyeluruh akan terus kukuh dan rancak dengan mencapai sasaran yang dikehendaki oleh industri dan kerajaan.
18. Kemampanan (sustainability) kewangan Islam amat terkait rapat dengan pembangunan modal-modal insan secara profesional dan tersusun. Penambahbaikan tahap pematuhan Syariah di dalam dunia kewangan digital harus tidak diambil mudah. Perbincangan serta pengharmonian perbezaan
pendapat dalam amalan muamalat global harus dipandu melalui sesi-sesi seperti yang dimartabatkan di dalam Muzakarah seperti ini.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin sekalian,
KESIMPULAN
Arus perubahan yang pantas akan menjangkau imaginasi kita. Oleh itu, kita memerlukan cendekiawan Syariah untuk melengkapkan diri dengan ketangkasan dalam bertindak, kerjasama yang erat di antara kita, serta keanjalan (flexibility) dalam merangka solusi yang bersesuaian. Dalam hal ini, para cendekiawan Syariah dalam kewangan Islam turut mempunyai peranan penting dalam memastikan kewangan Islam terus kekal relevan dan menguntungkan perniagaan dan dalam masa yang sama kekal memberi nilai impak sosial kepada rakyat.
Sehubungan itu, saya mendoakan muzakarah pada kali ini akan berjalan dengan lancar dan dapat menjadi satu platform pemangkin bagi mencapai objektif yang disasarkan oleh industri kewangan di negara ini dan global. Saya mengucapkan syabas kepada pihak penganjur dan penaja atas usaha murni menjayakan dan meneruskan Muzakarah KLIFF hingga kini.
Dengan lafaz kalimah suci “Bismillahirahmanirrahim”, saya dengan sukacitanya merasmikan Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam KLIFF Kali Ke-14 tahun 2021 ini.
Sekian wabillahitaufiq walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih