1. Bagi pihak penganjur bersama Muzakarah Penasihat Kewangan Islam 2021 Kali ke 14, saya ingin merakamkan rasa terima kasih dan penghargaan kami yang tinggi kepada YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohammad al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Agama) di atas kesudian Yang Berhormat meluangkan masa berucap dan merasmikan Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam 2021 kali ke-14.
2. Sesungguhnya kehadiran dan ucapan Yang Berhormat Datuk di dalam majlis kami yang tidak seberapanya ini yang dibuat secara maya adalah tanda keperihatinan Yang Berhormat Datuk kepada amalan dan juga sumbangan kewangan Islam kepada kesejahteraan masyarakat Malaysia umumnya dan masyarakat Islam khususnya.
3. Kami akan menanti apakah nasihat dan hasrat Yang Berhormat Menteri untuk kami memperkasakan tapak-tapak kewangan Islam dalam petak- petak kehidupan di bumi Malaysia yang bertuah ini.
4. Izinkan saya untuk berbicara dengan bahasa seorang penulis khususnya bahasa penulis novel. Ini bagi melunakkan sedikit suasana keilmuan dan suasana persahabatan dan ukhuwwah yang tinggi yang terjalin antara semua pemain sektor kewangan Islam di Malaysia samada di kalangan alim ulamak atau pengamal kewangan atau antara dua kelompok ini.
5. Hampir 37 tahun bahtera kewangan Islam sudah belayar di lautan samudera yang luas bernama Bumi Malaysia. Pada ketika bahtera ini dilepaskan di lautan yang luas, tidak ramai yang yakin bahtera ini akan selamat daripada badai ombak yang menggila tinggi. Ombak di lautan tidak ada perasaan rahmat dan belas kasihan. Hanya yang kuat akan selamat.
6. Apatah pula dengan dikendali oleh nahkoda bahtera yang masih hijau ilmunya. Maklumlah, ini pelayaran beliau ke lautan luas yang pertama pada tahun 1983. Turut bersama dalam pelayaran ini beberapa penasihat yang alim tentang Syariah dan Ahkam al-Muamalah. Mereka mengangkat sauh di sebuah pengkalan untuk belayar jauh menerokai lautan ilmu kewangan yang patuh kepada arahan dan larangan Allah, Tuhan Semesta
Alam. Sememangnya kapal dicipta untuk belayar di lautan mengambil risiko dan bukan diikat kemas di pelabuhan.
7. Kapal ini sudah belayar hampir 37 tahun. Pelbagai bentuk dan suhu air laut telah ditempuhi. Tidak ada ribut badai yang tidak pernah dilintasi. Semuanya dilalui dengan selamat. Angin ribut produk, audit dan review, analisa kredit, pematuhan Syariah secara substantif dan prosedur, semuanya digagahi. Bahtera masih terus belayar tenang.
8. Selama 37 tahun, ada di kalangan alim ulamak yang berada di atas bahtera ini dalam satu perjuangan suci telah dipanggil oleh Allah SWT kembali di sisiNya SWT. Ada yang muda dan ada yang sudah berumur. Nama-nama alim ulamak ini dipahat di dinding bahtera ini untuk kenangan dan doa generasi mendatang. Antaranya adalah Allahyarham Dr Zainuddin Jaafar, Dr Abdullah Ibrahim, Datuk Dr Harun Din, Profesor Dr Joni Tomkin, Dato’ Dr Mohamad Ali Baharum, Dato Dr Mahmud Saedon dan ramai lagi.
9. Di bahtera luar negara dan di lautan yang berbeza, ada juga alim ulamak terbilang yang telah kembali ke alam hidup yang hakiki setelah menabur bakti yang tidak ternilai tinggi. Semoga Allah SWT merahmati ruh Dr Muhammad Siddiq al-Dharir, Dr Wahbah al-Zuhayli, Dr Abdul Sattar Abu Ghuddah dan yang terkini Dr Ahmad Ali Abdullah.
10. Mereka telah meninggalkan legasi mereka sendiri. Tidak penting apakah pandangan mereka semasa berada di atas bahtera suci. Yang penting ialah kesungguhan usaha mereka dan keikhlasan hati mereka serta kegerunan dan ketakutan jiwa mereka kepada Allah untuk menjadikan sistem kewangan Islam yang bersendikan Ahkam Muamalah difahami dan dihayati oleh masyarakat Islam kontemporari. Dinukilkan daripada al- Fudhail bin ‘Iyadh dalam kitabnya al-Hilyah 8/110; “Sesungguhnya kamu digeruni (dan disayang) oleh makhluk senada dan senafas dengan kadar kegerunan dan ketakutan kamu kepada Allah”
11. Mereka tidak pernah lelah dan mengah menulis dan berkarya, memberikan fatwa yang tuntas dan menyantuni semua pemegang taruh kewangan Islam tanpa jemu-jemu hanya untuk nama mereka dijulang dan kepentingan peribadi mereka diikat kemas dalam saku mereka. Mereka
adalah pekerja di atas sebuah bahtera untuk memastikan bahtera ini tidak tenggelam dan sampai ke destinasinya yang diredhai oleh Allah SWT.
12. Alhamdulillah, sejak 14 tahun juga, bahtera Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam KLIFF, telah mula berlayar di laut cetek dan kemudian memberanikan diri belayar di laut dalam untuk mengikut dekat dan rapat kapal induk kewangan Islam antarabangsa.
13. Segala persiapan dibuat rapi setiap tahun untuk menjadikan acara Muzakarah tahunan ini dekat di hati para alim ulamak dan sarjana kewangan Islam dalam semua peringkat umur dan tahap pengalaman dan ijtihad.
14. Segala bantuan penajaan dan bantuan nasihat serta tenaga telah dicurahkan kepada sebuah bahtera kecil ini untuk belayar di samudera yang luas dan berombak tinggi. Bahtera kecil ini ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua mereka yang telah membantu pelayaran bahtera Muzakarah sejak 14 tahun yang lalu.
15. Untuk tahun ini, pengendali bahtera Muzakarah ini ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada CIMB Islamic sebagai rakan penaja platinum. Juga kepada Bank Muamalat, Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman, Permodalan Nasional Berhad, Bank Islam, Bursa Malaysia dan Ambank Islamic sebagai rakan penaja emas.
16. Sekalung terima kasih kepada rakan penaja gangsa dan rakan komuniti MIFC. Tidak lupa juga kepada pihak Kerajaan Malaysia yang sentiasa memberi dorongan dan galakan untuk bahtera ini belayar dari tahun ke tahun.
17. Atas sumbangan dan bantuan serta galakan anda semua, bahtera Muzakarah akan sentiasa mengukir di atas papan di atas dek bahtera sambil mengangkat tangan berdoa kepada Allah Pencipta langit, darat dan lautan bagi memberkati segala bantuan anda semua. Setiap batu nautika yang telah dilayari dan dilalui pasti ada di sana pahala yang tersimpan di alam akhirat yang penuh dengan rekod sakti. Yang sekecil biji sawi pun akan diapongkan dan diteliti.
18. Apa pula teluk dan lautan yang ingin diterokai oleh bahtera Muzakarah buat tahun ini? Ahh…pastinya banyak sekali teluk dan lautan yang menarik lagi mempersonakan. Mungkin tidak mampu nak halakan bahtera kesemua teluk dan lautan.
19. Nahkoda dan anak-anak kapal di tahun ini ingin menerokai beberapa teluk dan kawasan baharu. Teluk yang bernama Kewangan Sosial Islam adalah teluk yang diperkatakan ramai buat masa ini. Sudah pasti ini menjadi destinasi utama supaya tidak terlepas peluang menikmati keindahan teluk ini.
20. Ahh…seronok juga kalau dapat mendalami teluk jauh di sana…di sebelah timur nusantara…Teluk Takaful dan Takaful Semula. Di khabarkan banyak ikan-ikan yang cantik berenang tenang di sana seolah-olah mengamit kedatangan kita semua.
21. Bahtera yang kuat dan bervisi tinggi perlu juga mengambil cabaran. Tak guna kapal besar dan cantik tetapi penakut dan tidak berani belayar di lautan yang bergelombang tinggi. Teluk piawaian (standard) perakaunan antarabangsa adalah teluk yang dalam, mencabar dan mengancam. Memang mencabar persis Bermuda Triangle.
22. Dunia timur sudah diterokai. Teringin sangat di hati bagi menerokai dunia barat…dunia yang bercakap bahasa Arab…bahasa al-Quran yang berfrekuensi tinggi, padat dan sarat dengan mesej langit. Bahtera sudah siap berkelengkapan untuk menjelajah teluk fatwa semasa yang pelbagai dan berilmiah serta berimpak tinggi.
23. Sebelum bahtera pulang semula ke timur, alangkah elok diwacanakan di atas dek bahtera di bawah pantulan sang rembulan langkah-langkah ke hadapan. Tidak guna bahtera bergerak dalam kawasan lautan yang sama dengan cara yang sama yang tidak pernah berubah tetapi mengharapkan hasil dan pencapaian yang berbeza. Ini adalah fenomena al-junun atau al- safahah atau insanity atau kebodohan moden.
24. Ungkapan sakti Siiru ‘ala barakatillah yang selalu menjadi ungkapan YB Datuk Seri Menteri Agama yang kita muliakan mengakhiri bicara bahtera Muzakarah pada pagi ini.
25. Bagi pihak penganjur bersama, dan semua penaja, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua moderator dan pembicara yang sudi melapangkan masa dalam kesibukan jadual anda bagi bersama-sama komuniti bahtera Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam Kali ke-14 di tahun 2021.
26. Saya juga dengan rasa rendah diri dan rasa teruja dengan sambutan yang menggalakan dari semua peserta yang mencecah 1,500 peserta, ingin berterima kasih kepada semua peserta yang bersemangat dalam satu platform wacana minda Syariah secara digital. Kami yakin bahtera ini cukup luas dan kuat untuk membawa anda semua atas bahtera ini bersama-sama menuju satu destinasi yang mulia, suci dan diberkati Allah SWT sesuai dengan firman Allah SWT, “Negeri yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun.” (Saba’: ayat 15).
27. Sebelum saya mengundur diri, sekali lagi dengan rasa sukacita dan keterujaan yang tinggi, saya mewakili semua pihak di atas bahtera Muzakarah ini ingin merakamkan rasa penghargaan kami sambil mendoakan kesejahteraan yang tidak putus-putus kepada YB Senator Datuk bagi bekerja keras untuk bangsa, agama dan negara dalam pelbagai bahtera di bawah kepimpinan Yang Berhormat Senator Datuk, Menteri Agama Malaysia.